IZZAT

COKE & COLA

20130213-022403.jpg
February 13, 2013

Bahagia

1. Kebahagian jika ingin diceritakan apa maknanya memang akan tiada noktah, kerana manusia sering sahaja berbeza idea mengenai apa itu kebahagian, sesuatu yang pasti semua manusia inginkanya. Tidak terfikir akal ada manusia yang tidak impikan kebahagian, sedangkan penjenayah yang membunuh pun biasanya adalah kerana mereka ingin merasa ‘kebahagian’.

2. Kita sendiri sebenarnya tidak mampu untuk menilai apakah itu kebahagian kepada kita. Ada masa suatu perkara yang biasanya tidak memberikan apa-apa makna tetapi memberi kita sedikit rasa gembira atau bahagia. Perkara yang biasanya kita tidak suka, boleh juga memberi kita kebahagian yang tidak kita jangka. Ia datang biasanya tidak diundang tetapi sentiasa diterima dengan tangan terbuka.

3. Ada kajian yang membandingkan ‘tahap’ kebahagian seorang yang baru menang loteri berbanding dengan orang yang baru kehilangan kaki akibat penyaki, pada awalnya kebahagian yang memenangi loteri pada tahap yang tinggi, manakala tersangat rendah bagi yang kehilangan kaki. Selepas beberapa tahun, tahap kebahagian antara dua orang itu adalah pada satu tahap yang sama. Bagi aku kebahagian adalah tidak boleh diukur melalui nasib semata, tetapi juga melalui ‘syukur’ kita kepada apa sahaja yang kita dapat.

Kita mampu merancang dan bermimpi, tetapi tidak semestinya ia akan menjadi realiti.

4. Orang Islam, dan juga agama-agama lain di ajar untuk menerima baik buruk yang berlaku dalam hidup kita dengan hati terbuka, terlalu bersedih dengan kekurangan boleh menjejaskan kita, terlalu gembira dengan kejayaan akhirnya membawa keburukan juga kepada kita. Dengan bersyukur, sebenarnya dalam apa jua perkara yang berlaku kita tetap akan bahagia dengan apa yang kita hadapi.

5. Kebahagian boleh dirancang, boleh dicari tetapi ia juga boleh pergi dan hilang. Hari ini ia sesuatu yang memberi kebahagian boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan pada hari yang lain. Semua inginkan kebahagian, berserahlah kepada yang Esa, untuk menjadikan kita bahagia kerana dengan rahmatnya sahaja kita sebenarnya mampu mendapat kebahagian sebenar. Kita mampu merancang dan bermimpi, tetapi tidak semestinya ia akan menjadi realiti.

Padas
February 10, 2013

Padas

1. Ingatkan trip ke Kinabalu suduh cukup untuk setahun, kemudian datanglah idea dari seorang rakan sekerja ingin menganjur Padas White Water Rafting. Bajet untuk aktiviti masih ada, jadi aku dan seorang rakan aku dipertanggungjawab untuk mencari package yang terbaik, paling murah, setelah beberapa hari mencari dapat dari Riverbug, paling murah yang kami jumpa, itupun tidak jauh dengan tempat-tempat lain.

2. Seterusnya adalah mencari orang untuk menyertai, dengan bayaran, yang sebahagian besarnya sudah subsidi, menjadikan penyertaan agak mengalakan. 40 tempat, diisi dalam masa yang singkat. Selebihnya adalah memastikan segalanya berjalan lancar. Bas ke Beaufort, tiba seawal 5.30 pagi di Menara, aku sudah pun menunggu disana, Subuh di sini agak awal, jadi tidak terlalu susahlah untuk mengumpulkan orang seawal ini.

3. Dari Kota Kinabalu, maka bergeraklah ke Stesen Kereta Api Beaufort, perjalanan mengambil masa antara sejam hingga dua jam, aku pergi tahun lepas lagi, awal bulan 12, jadi ingat-ingat lupa sahaja untuk bercerita. Setibanya di Stesen Kereta Api, menunggu untuk kereta api bergerak menuju ke stesen Pangi yang merupakan permulaan kepada rafting.

4. Dari Beaufort ke Pangi mengambil masa lebih kurang 2 jam, dan mengunakan dua kereta api yang berbeza. Kereta api pertama memang tiada masalah, mungkin tiada tempat duduk sahaja. Kereta api kedua pula, ia semakin kecil, dan jika lambat terpaksa memberanikan diri berpegang kepada bahagian tepi, dan menghirup udara segar tanpa sebarang bumbung. Walaupun agak menakutkan, tapi boleh merasa sedikit cabaran.

5. Di tengah perjalanan akan berhenti sekejap di Rayoh, untuk menukar baju, dan menyimpan barang-barang yang dibawa, sebelum meneruskan perjalanan ke Pangi. Setibanya di Pangi, kelekapan akan diberi, seperti lifejacket dan helmet. Kemudian penerangan mengenai keselamatan, yang aku dah lupa, tetapi agak penting elok didengar dengan teliti. Setelah semua selesai, akan dibahagi kepada beberapa kumpulan, antara 6-7 orang satu kumpulan yang akan disertai dua orang penjaga.

6. Rafting akan melalui jarak sejauh 9 km yang mengambil masa kurang 2 jam. Paras air adalah bergantung kepada keadaan semasa, jika hujan mungkin paras air tinggi dan lebih menyeronokan. Ada dalam 8 tempat pusaran air, yang dipanggil rapid. Setiap rapid mempunya nama-nama yang berlainan, antaranya Washing Mashing dan Snake House. Untuk lebih merasa keseronokan, mintalah penjaga untuk capsizekan raft, kalau tidak capsize sendiri.

7. Rafting akan berakhir di Rayoh, disini lunch akan disediakan, dan bolehlah mandi dan bersalin baju. Dari segi penat, tidaklah penat, tetapi dari segi keseronokan, aku memang berpuas hati. Terutama masa terbalik, dan terselam dalam air. Mengikut apa yang diajar, cuba tinggikan kepala supaya dapat bernafas, tetapi tinggi mana pun, air sentiasa lebih tinggi, lemas lah sekejap, cemas pun ada, tetapi selepas itu memang puas hati, walaupun terpaksa naik raft lain, kerana raft sendiri jauh ditinggalkan.

8. Selepas siap makan, dan membeli gambar serta video, kalau nak gambar/video sediakan duit lebih kerana ia tidak hadir besama dengan package, dan harganya agak mahal untuk jumlah gambar dan video yang tidak seberapa. Terpaksa kerana tiada sumber yang lain ambil sahajalah. Pernah pergi ke Padas White Water Rafting, mesti tahu keseronokanya, kalau tidak, dan berada di Sabah, wajib mencuba.

Kerja
February 8, 2013

Kerja

1. Masa di Universiti kami ada kata-kata yang sekarang baru tahu betulnya – masa belajar, tiada duit tetapi masa ada lebih, masa kerja, ada duit tetapi tiada masa lebih.  Mungkin tidak keseluruhanya betul, kerana sekarang pun duit masih lagi terhad, tetapi masa itu tepat.  Kalau masa di universiti, macam tak kisah nak habiskan satu game tu cepat ke lambat kerana esok masih ada.  Apabila sudah bekerja masa jadi makin terhad, tinggal waktu malam sahaja.

“Masa belajar, tiada duit tetapi masa ada lebih, masa kerja, ada duit tetapi tiada masa lebih.” - Xathi

2. Sekarang ini aku masih lagi tidak bekerja melebihi masa bekerja, tetapi tengok kepada rakan-rakan sekerja aku yang sering balik lambat, mungkin tidak lama lagi aku turut serta.  Masa itu lagilah, masa malam sekadar untuk makan dan bacaan ringan kemudian tidur.  Walaupun semasa di universiti juga mengikut rutin, tetapi ia mempunyai lebihan masa terutama akhir-akhir semester.  Rutin kerja, hampir sama setiap hari, bangun pukul 5, pukul 7 pergi kerja, pukul 5 balik, pukul 11 tidur.

3. Jika masa berkurang, tanggungjawab pula bertambah.  Jika dulu bersenang lenang, walaupun duit terhad tetapi kita tiada tangungan, tidak cukup duit bulan itu, tidak risau sangat ada sahaja cara nak makan sekurangnya.  Kerja, kena sentiasa ada lebihan supaya jika ada meminta tolong kita mampu.  Sedar atau tidak, orang akan berharap kita mampu bantu mereka, terutama orang yang kita sukar untuk kata tidak untuk bantu, contohnya ibu bapa, adik beradik.

4. Selain dari itu kita juga ada tanggungjawab untuk menyimpan, ataupun untuk bersedia di waktu hadapan.  Boleh dengan menyimpan atau membeli asset, ataupun kedua-duanya.  Seeloknya adalah kedua-duanya, tetapi sekadar mampu sekarang, terutama aku masih lagi membeli secara rambang, mampu untuk fokus kepada asset, menyimpan itu mungkin nanti.  Semua ini adalah untuk masa, minta jauh, mungkin kehilangan kerja, kita tidak tahu apa sahaja boleh berlaku suatu masa nanti.

5. Masa dulu, selalu terfikir untuk kerja apa yang kita suka atau kerja apa yang ada dalam market.  Bagi aku, aku kerja apa yang diberi, mungkin bukan sesuatu yang aku nak buat, tetapi selagi aku mampu buat, aku boleh sahaja buat.  Masa universiti mungkin lain, dalam rancangan masa depan, aku ingin bekerja sendiri, ada suatu yang aku ingin kejar, tetapi sekarang, bukan hilang, sekadar letak tepi dahulu, mungkin masa kedepan aku kembali kepada perancangan awal.

6. Kepada yang tengah memilih bahagian apa untuk sambung belajar di universiti nanti, pilihlah yang kamu semua minat, tetapi ia tidak menjamin mendapat kerja yang anda minat.  Belajar penting untuk belajar sesuatu yang kita rasa kita hendak belajar, tetapi kerja, mungkin memilih itu agar sukar, melainkan anda betul-betul berani untuk mencuba sendiri apa yang dikehendaki, ia juga boleh berjaya.

Mentaliti
February 6, 2013

Mentaliti

1. Mentaliti ada kelas pertama, ada kelas ketiga, tidak pasti ada ke tidak kelas kedua.  Rakyat Malaysia, sedihnya, selalu dikaitkan dengan mentaliti kelas ketiga.  Pahit untuk menerima, adakah betul atau sekadar pemerhatian secara umum sahaja.  Bagi aku sukar untuk kata, aku sudah melihat rakyat Malaysia yang bermentaliti baik, dan ada juga mentaliti yang tidak baik, dan aku rasa semua negara mempunyai perkara yang sama.

2. Beberapa negara di dunia, terutama di Eropah banyak menyediakan perkhidmatan berkongsi basikal.  Aku pernah lah berkata kenapa ya Malaysia tidak buat, maka adalah suara-suara akan berkata, “Buat kat Malaysia, tak sampai sejam hilang habis basikal.  Mentaliti rendah lagi sini kat luar lain”.  Mungkin ada betulnya, tetapi di Eropah pun, mereka juga mempunyai masalah sama, sebab itu kebanyakan basikal mereka sekarang mempunyai sistem mengelak kecurian.

“Buat kat Malaysia, tak sampai sejam hilang habis basikal.  Mentaliti rendah lagi sini kat luar lain”

3. Bola sepak, sekarang Liga Super Malaysia, makin gah, makin rancak dan makin menarik minat orang ramai walaupun bukan di kalangan kaki bola.  Akan tetapi wujud pula jenis penonton-penonton ke Stadium yang pergi untuk membuat kacau, membaling botol, mercun dan sebagainya.  Negeri aku terutamnya sering sahaja diperkatakan penonton mentaliti rendah.  Adakah negara luar, penonton mereka mempunyai perangai yang lebih baik?  Tidak betul dan juga tidak salah.  Jika kita tengok, penjagaan stadium mereka lebih rapi dan terkawal, penonton akan sukar untuk membuat masalah, jika tidak mereka dibawa keluar.  Antara penonton tuan rumah dan penonton lain diletakan ramai penjaga, supaya tidak berlaku pergaduhan.  Malaysia, FRU jaga belakang gol sahaja memang tidak terkawal.

4. Semasa aku pratikal di Selangor, kenderaan awam memang sentiasa menjadi pilihan, biasalah orang tiada lesen.  KTM Komuter adalah bagi aku antara paling teruk perkhidmatanya, selalu rosak, lambat, tunda dan sebagainya.  Masa orang balik kerja, memang bersesak, beratur hilang kemana, semua nak masuk cepat, mentaliti rendah kata orang.  Nak salahkan mereka tidak boleh juga, semua orang sudah habiskan masa di pejabat, nak habiskan masa di stesen pula?  Memandu kereta sendiri, tersangkut jalan Jem pula.  Mungkin jika kenderaan awam, dan sistem jalan, ataupun apa juga cara dibuat untuk mengurangkan masalah ini, rasanya tiada berlaku jenis mentaliti tidak menepati saranan.

5. Mentaliti, setiap orang ada tahap dia sendiri, ada masa mereka berlainan dengan masa yang lain.  Menyuruh orang mengubah mentaliti susah, macam-macam ayat kasar kita bagi “jangan jadi penonton bodoh, baling botol”, “tiada otak ke, main lintas-lintas?” tetapi ia akan tetap berlaku, manusia dah macam itu.  Apa yang perlu di buat adalah bukan suruh mereka mengubah mentaliti, tetapi paksa mereka mengubahnya.

6. Basikal contohnya, seperti di Eropah, ada sistem mengelak kecurian, mungkin ada lagi, tetapi kurang.  Bola sepak, tambah jumlah yang jaga stadium, tingakatkan kualiti pengawalan di stadium, ubah waktu perlawan supaya tidak terlalu dekat dengan Maghrib supaya orang sempat sembahyang di luar, dan sempat lagi masuk ke stadium, gunakan sistem kerusi bernombor, supaya tidak perlu berpusu-pusu untuk masuk stadium.  KTM komuter contohnya, tambahkan orang menjaga, supaya sistem beratur dapat dibuat dengan baik, coach perempuan sahaja, betul-betul untuk perempuan sahaja, cuba sedaya yang mungkin untuk tiba pada waktu yang tepat, supaya senang untuk pengurusan, jika dua atau lebih train tiba serentak susah untuk mengawalnya.  Ubah mentaliti memang susah, tetapi paksa mereka atau aku sendiri mengubahnya, lama-lama terbiasa lah tu.

Kinabalu
February 4, 2013

Kinabalu

1. Tiada dalam perancangan, ada keinginan tetapi bukan seawal ini.  Bekerja atau belajar atau sekadar menetap di Sabah akan menjadi kewajibpan untuk sekurangnya sekali mendaki Gunung Kinabalu, yang merupakan kemegahan bagi penduduk Sabah dan juga seluruh Malaysia.  Peluang datang dengan tiba-tiba, membuatkan aku menyertai juga expedisi pendakian walaupun tiada apa-apa persediaan yang dibuat, sekadar bermain futsal menjadi pelatih stamina.

2. Persediaan yang aku buat adalah sekadar membeli apa yang patut – windbreaker, tongkat, headlamp, tracksuit dan juga kasut untuk aktivi luar.  Selebihnya adalah lebih kepada mentaliti.  Setibanya di tapak Kinabalu iaitu Timpohon Gate segala persedian perlu di buat, bawah ini sekadar pack barang kemas-kemas, kalau ingin porter tolong angkatkan beg boleh dengan jumlah bayaran yang tertentu, RM 40 untuk 10kg kalau tidak salah, kalau tiada keperluan, bag yang kecil sudah memadai.

3. Perjalan dari Timpohon Gate ke Laban Rata, iaitu perhentian sementara sebelum ke puncak, biasanya tiada sangat masalah.  Tidak perlu memakai baju tebal-tebal kerana ia sebenarnya agak panas, memang berpeluh.  Pada awalnya ia agak mudah, sekadar berjalan dengan kelajuan tetap sudah memadai.  Bila hampir dengan Laban Rata keadaan sedikit susah, kerana ia lebih berbatu, jika hujan lagi bermasalah.  Akhir-akhir ini kaki mula menunjukan kesan, cramp selalu terjadi.  Nasihat – jangan berseorangan.

4. Timpohon Gate ke Laban Rata mengambil masa lebih kurang 4-5 Jam, jarak lebih kurang 7-8 KM.  Setibanya Laban Rata keadaan mula sejuk, tetapi tidak perlu baju tebal, sweater biasa sudah cukup.  Perjalanan ke puncak akan diteruskan pada awal pagi, jadi masa di Laban Rata adalah untuk berehat, dan mencuci badan, air dia sangat sejuk, hanya bilik VIP sahaja yang mempunyai heater, kalau dapat guna, gunalah heater kalau tak memang cukup sekadar cuci muka.

5. Makanan yang disediakan memang sedap, untuk lunch dan dinner, tetapi maggi panas juga diperlukan.  Menghirup maggi yang panas dalam cuaca yang tersangat sejuk, kenikmatan memang terasa.  Malam hari bolehlah tidur, tetapi kebanyakan dari kami memang tidak dapat tidur, habiskan masa berborak.  Manakala aku lepas Isyak, terus menikmati keenakan tidur.

6. Pukul 2 pagi, sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke puncak.  Cuaca hujan renyai-renyai mengakibatkan kami bermula lewat dari perancangan awal, jika hujan lebat mungkin terpaksa batal untuk ke puncak.  Pukul 3 pagi, mula berjalan ke puncak, ia berbeza dengan perjalan ke Laban Rata, kerana ke puncak, sudah mula melalui curam-curam yang tinggi, terpaksa mengunakan tali.  Bermula pada waktu yang gelap, tidak terasa sangat ketinggian dia, kerana memang tidak nampak kebawah.

7. Kepenatan, dan tekanan kepada kaki, membuatkan aku lambat untuk sampai ke puncak, awalnya ingin melihat matahari terbit di puncak, tetapi tidak sempat, tambahan matahari pun terlindung kerana kabus yang tebal.  Tiba di puncak lebih kurang pukul 7-8 pagi, berada sekejap dan terus turun ke Laban Rata kerana terlampau sejuk.  Tambahan perlu mengejar masa untuk daftar keluar dari bilik.

8. Tiba di Laban Rata, dalam pukul 12 tengah hari, 12.30 terus bergerak turun ke Timpohon Gate, kami bergerak sangat perlahan kerana kaki semua sudah sakit, pukul 7 Malam baru tiba di Timpohon Gate, masuk sahaja dalam bas, memang kepenatan itu hilang, rasa lega dan kepuasan hati tu ada.  Puas hati lebih terasa semasa di puncak berbanding di bawah.  Akhirnya, aku berjaya takluk Gunung Kinabalu, mungkin tahun ini mencuba lagi.

 

Older Posts